Cincin Graduasi UiTM (CGU)

Kolej Pengajian Seni Kreatif,
Kompleks Ilham,
Universiti Teknologi MARA,
40450, Shah Alam,
Selangor, Malaysia.

Rekaan

Kajian Rintis

Satu kajian rintis telah dilakukan untuk melihat potensi pengkomersilan CGU dan menilai penerimaan para graduan dan alumi terhadap penginovasian CGU sebagai salah satu komponen dalam Istiadat Konvokesyen UiTM. Sebanyak 97.7% responden setuju untuk menjadikan CGU sebagai aset simpanan, barang kenangan selain menjadi perhiasan diri.

Rekaan

Cincin Graduasi UiTM (CGU) ini akan menjadi koleksi peribadi sebagai tanda kenangan bagi setiap graduan. Rekaan cincin ini adalah gabungan inspirasi daripada jalur rehal yang disematkan dengan motif-motif Melayu yang terdapat pada Keris Agung UiTM dalam Majlis Istiadat Konvokesyen. Secara simbolik, rehal melambangkan peringkat pengajian di universiti terkemuka ini.

Justifikasi

Justifikasi penghasilan idea rekaan CGU dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh UiTM yang digunapakai untuk tujuan promosi dan publisiti yang melambangkan identiti UiTM. Terdapat tiga komponen penting yang perlu ada dalam penghasilan rekaan CGU iaitu Sejarah Penubuhan UiTM, Imej dan Identiti Korporat UiTM dan Tagline UiTM di Hatiku. Ketiga-tiga kompenan di gabungkan menjadi satu idea rekaan dan seterusnya akan diterjemahkan dalam produk CGU.

Penghasilan

Penghasilan idea untuk menginovasi dan pengkomersilan Cincin Graduasi UiTM (CGU) sebagai lambang kejayaan para graduan UiTM merupakan gabungan idea para pakar barang kemas dari Jabatan Seni Reka Teknologi Barang Kemas dalam melihat potensi CGU sebagai satu aset yang mempunyai nilai sentimental kepada para pelajar, alumni dan seluruh warga UiTM.

Motif yang digunakan

Ciri-ciri rekaan

Ciri-ciri rekaan adalah berdasarkan pada keputusan kaji selidik yang diedarkan kepada bakal graduan dan alumni UiTM. 

Responden

Responden lebih memilih rekaan yang hanya menggunakan motif atau corak korporat yang simbolik kepada UiTM.

Sumber motif CGU digarap dari Bunga Petola kuning dengan falsafah unik kuning Di-Raja representasi kearifan, kedaulatan dan keluhuran Kesultanan Melayu. Inspirasi daripada refleksi yang mendalam terhadap alam, motif Awan Larat diketengahkan dengan penuh maknawi:

“Tumbuh berpunca,
Punca penuh rahsia,
Tumbuh tidak manenjak kawan,
Memanjat tidak memaut lawan,
Tetapi melingkar penuh mesra…”

Penggunaan motif Bunga Tanjung membawa pesan alam mengenai keindahan dan keharmonian semesta yang turut dikenali sebagai identiti Negeri Selangor seerti dengan letak duduknya Kampus utama UiTM. Sumber motif yang diilhamkan dari Rehal dan Pucuk Rebung masing-masing mencerminkan elemen keterampilan, ketelitian dan kesabaran dalam menjejak ilmu secara formal mahupun informal. Manakala motif Pucuk Rebung pula melambangkan proses pendidikan yang membentuk mahasiswa dan melahirkan profesional.

Pada bahagian dalam cincin akan terdapat ukiran maklumat seperti ketulenan bahan, logo UiTM dan kod hak cipta.

Produksi CGU

Teknik Penghasilan

Rekaan CGU direka dengan lakaran kasar dan kemudian dibangunkan menggunakan perisian komputer 3D dan menghasilkan prototaip mengguakan cetakan 3D untuk menilai rekaan yang dihasilkan. Teknik terbaik yang digunakan adalah ‘casting‘ atau tuangan logam kerana ia bersifat ‘mass production‘.

Jaminan Kualiti

Demi memberikan jaminan kualiti terbaik, kawalan kualiti dilakukan sebanyak dua peringkat iaitu semasa penghasilan dan penghantaran. Setiap cincin akan melalui proses pemeriksaan mengikut standard yang ditetapkan oleh badan yang diiktiraf. Setiap pengeluaran cincin akan mempunyai rekod pembeliaan, sebagai bukti produk yang dihantar kepada pelanggan dalam keadaan baik.

Usaha, taqwa, mulia

Sehubungan itu, adalah diharapkan dengan adanya Cincin Graduasi UiTM (CGU) ini mampu menjadi pendorong kepada graduan dan mahasiswa untuk lebih tampil bersemangat serta dapat memberi kebaikan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Semoga Cincin Graduasi UiTM yang direncanakan oleh Jabatan Seni Reka Teknologi Barang Kemas ini mendapat sokongan dan sambutan daripada semua pihak dan memperoleh keberkatan serta keredhaan Allah s.w.t.